Selamat Datang

Assalamualaikum WHB. Tujuan utama blog ini adalah untuk sama-sama kita renung-renungkan kan keadaan ekonomi umat Islam dan juga ekonomi bangsa Melayu sekarang ini. Bersama-samalahlah kita menuju ke arah ekonomi umat yang lebih baik.

Selasa, 28 Februari 2012

Apa Orang Kaya & Baik Buat ???

IR HAJI MOHD MAZLAN WAKAF HARTANAH UNTUK PENGAJIAN WARGA EMAS


Ir. Haji Mohd Mazlan bin Hj. Md Ismail Merican merupakan individu yang telah mencatat sejarah tersendiri di MAIWP. Pada 1 November 2011, beliau telah mewakafkan tanah, 2 buah rumah banglo dan kebun buah-buahan beliau di kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur seluas 1.72 ekar untuk dijadikan pusat pengajian warga emas yang bakal diuruskan oleh pihak MAIWP. Sikap pemurah dan pengorbanan beliau menarik Buletin MAIWP untuk mengupas latar belakang beliau yang mencatat nama antara pewakaf terbesar di Wilayah Persekutuan

Beliau yang dilahirkan pada 23 Oktober 1941 di Pulau Pinang telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Hajjah Rabiah Bee binti Mohamed Sulaiman dan dikurniakan dengan tiga orang anak yang masing-masing telah mempunyai kehidupan sendiri. Beliau kini telah bersara dan menetap di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Pendidikan peringkat tinggi Ir. Haji Mohd Mazlan bermula di Maktab Teknik pada tahun 1965 dalam bidang Diploma Kejuruteraan (Mekanikal) sebelum meneruskan pengajian peringkat ijazah di Universiti Teknologi MARA juga dalam bidang mekanikal dan seterusnya menamatkan pengajian di Ohio University pada tahun 1989 dengan Ijazah Master in Business Administration.

Beliau yang menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan turut memiliki kelayakan profesional antaranya Jurutera Stim Gred Satu dan Dua, Palm Oil Mill Executive, Jurutera Profesional daripada Lembaga Jurutera Malaysia dan kelayakan Orang Yang Kompeten bagi Pendedahan Bising.

Kerjaya beliau bermula sebagai Jurutera Giliran di Osborne and Chappel pada tahun 1967 hingga 1968. Laluan kerjayanya mula berkembang setelah menyertai Socfin Company Berhad sebagai Penolong Jurutera pada tahun 1970. Pada tahun 1980 beliau telah dilantik sebagai Pengurus II sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pengurus I sehingga tahun 1997. Pada tahun 2003 hingga 2007, Ir Mazlan telah dilantik menjadi Pengurus Besar Lembaga Jurutera Malaysia. Dalam tempoh tersebut, berdasarkan kepakaran yang dimiliki, beliau telah dilantik menjadi Pengerusi beberapa organisasi antaranya SSP EPM Sdn. Bhd, Steamline Malaysia Sdn. Bhd. dan Utama Jurutera Perunding.

Antara pengalaman dan sumbangan beliau sepanjang terlibat dalam bidang kejuruteraan adalah:

• merekabentuk dan membina kilang kelapa sawit berkeupayaan 20 tan sejam.
• merekabentuk dan membina tiga stesen pencuci hama berkeupayaan 20,30 dan 60 tan.
• mengubahsuai kilang keping getah menjadi kilang skim dan getah beku.
• merekabentuk dan membina 23 loji pembersih air di ladang.

• merekabentuk dan membina paip penghantar serta pam untuk pemasangan di pelabuhan.
• merekabentuk dan membina simpanan pukal minyak dan susu getah.

Ir. Haji Mazlan juga turut aktif dengan kegiatan-kegiatan luar. Antaranya terlibat dengan Rukun Tetangga, Ahli Jawatankuasa Pengubah Silibus Jabatan Mekanik Institut Teknologi MARA, Ahli Lembaga Universiti Teknologi Malaysia, Timbalan Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Damansara Jaya, Ahli Majlis Keselamatan Kebangsaan, Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Kualiti Pembinaan Malaysia, Pengerusi Lembaga Penasihat Politeknik Shah Alam dan Ahli Lembaga Koperasi Pemabangunan Profesional Malaysia.

Beliau juga turut menyertai badan-badan sukarela. Antara penglibatan beliau yang masih aktif sehingga sekarang adalah Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala dan Penasihat Madrasah Nurul Huda, Kampung Sungai Penchala.

Penglibatan beliau dalam aktiviti sukarela ini memberi kesedaran tentang keperluan untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian kepada warga emas yang ingin mendalami ilmu agama yang mendorong beliau untuk mewakafkan harta tersebut kepada MAIWP untuk dijadikan pusat pengajian. Ia akan diuruskan oleh MAIWP dan bakal dikenali sebagai Dar Assakinah.

Sikap pemurah Ir. Haji Mazlan seharusnya dicontohi oleh umat Islam lain yang berkemampuan demi untuk pembangunan dan kebajikan ummah khususnya di Wilayah Persekutuan. Semoga niat ikhlas beliau diberi ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah SWT.
Terima kasih Ir. Haji Mohd Mazlan bin Hj. Md Ismail Merican.

(Petikan Buletin Maiwp)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan